SESI PERJUMPAAN BERSAMA PEMAJAK TANDAS AWAM MDCH PERKUKUH KUALITI KEMUDAHAN AWAM
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 6 Februari 2026 — Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama pemajak tandas awam milik MDCH pada hari ini yang bertempat di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, MDCH bagi membincangkan aspek pengurusan, penyelenggaraan serta penambabaikan kemudahan awam demi keselesaan pengunjung dan penduduk setempat.
Sesi perjumpaan tersebut telah dipengerusikan oleh Ahli Majlis MDCH, Encik Azizi bin Ahmad. Turut hadir merupakan Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa, barisan Ahli Majlis MDCH, Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MDCH, Ketua Unit Penguatkuasa MDCH, Ketua Unit Undang-Undang MDCH serta wakil daripada Jabatan Kejuruteraan dan Kemudahan Awam MDCH.
Perjumpaan ini diadakan sebagai platform perbincangan dua hala antara pihak MDCH dan pemajak bagi memastikan pengurusan tandas awam berada pada tahap terbaik selaras dengan imej Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan utama negara. Antara perkara yang dibincangkan termasuk aspek kebersihan, penyelenggaraan berkala, pematuhan syarat perjanjian pajakan, keselamatan kemudahan serta cadangan penambahbaikan perkhidmatan kepada orang awam.
Dalam ucapan beliau, Encik Azizi menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan selamat digunakan. Beliau turut mengingatkan bahawa tandas awam merupakan antara kemudahan yang mencerminkan imej dan tahap perkhidmatan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan.
Sesi ini turut memberi ruang kepada pemajak untuk mengemukakan pandangan, cadangan serta isu-isu berkaitan operasi bagi membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan.
Majlis Daerah Cameron Highlands komited untuk terus mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan kemudahan awam demi kesejahteraan komuniti serta keselesaan para pelancong yang berkunjung ke daerah ini.












