MENU
 
KDPB SULTAN PAHANG BERKENAAN KURNIA RUMAH RU'RASA KEPADA PENERIMA DI KAMPUNG DESA KAYANGAN
 
Sumber Berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto Oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 12 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Desa Kayangan, Brinchang.
 
Keberangkatan Paduka Baginda yang memandu sendiri pada pukul 11.00 pagi telah disambut oleh Tuan Yang Terutama Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin serta Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid.
 
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada dua penerima dalam kalangan penduduk setempat sebagai usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan memiliki kediaman sendiri yang selesa dan selamat.
 
Dalam titah, Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur kerana dapat hadir ke majlis yang walaupun berskala kecil, namun membawa makna yang amat besar.
 
Paduka Baginda turut menjelaskan bahawa inisiatif Ru’RASA kini telah memasuki fasa ketiga dan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri Pahang, dengan sebanyak 18 buah rumah dibina di Cameron Highlands.
 
Sehubungan itu, Paduka Baginda berpesan agar para penerima menjaga kediaman yang dikurniakan dengan sebaik-baiknya serta tidak menjual atau menyewakannya.
 
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu pajakan tanah di Desa Kayangan yang sebelum ini berlarutan.
 
Paduka Baginda turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan serta memastikan infrastruktur asas seperti sistem pembetungan dan perparitan sentiasa berada dalam keadaan baik agar kawasan tersebut tidak ketinggalan dari segi pembangunan.
 
Baginda turut bertitah akan berangkat melawat kawasan berkenaan dari semasa ke semasa bagi meninjau perkembangan serta berharap satu pelan tindakan berterusan dapat dirangka bagi mencantikkan dan memperkasakan lagi kawasan Kampung Desa Kayangan demi kesejahteraan penduduk setempat.
 

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

 

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 Februari 2026 - 12:29pm