HARI CUCI MALAYSIA SEMPENA WORLD CLEANUP DAY 2025
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Majlis Daerah Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS, 27 September 2025 (Sabtu) – Program Pembersihan Mega peringkat Daerah Cameron Highlands telah berlangsung dengan jayanya bersempena Hari Cuci Malaysia 2025. Program ini dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif nasional memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan alam sekitar.
Program yang diadakan di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands bermula pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah disertai oleh seramai 420 orang peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan serta para sukarelawan.
Majlis perasmian dan pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Aziz bin Abdullah, Pengurus Cawangan SWCorp Daerah Cameron Highlands, Encik Muhammad Redzuan bin Mat Yusof, JPKK Kg Raja, Encik Md Shamshul bin Haji Omar serta Ahli-ahli Majlis Daerah Cameron Highlands.
Sambutan Hari Cuci Malaysia merupakan acara tahunan yang diraikan bersempena World Cleanup Day iaitu gerakan global yang menghimpunkan jutaan sukarelawan seluruh dunia bagi melaksanakan aktiviti pembersihan. Tahun 2025 menyaksikan kesinambungan komitmen Malaysia dalam memperkukuh budaya kebersihan melalui objektif utama untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan penjagaan persekitaran, menggalakkan semangat gotong-royong serta memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
Program ini turut menekankan kepentingan kitar semula melalui inisiatif “Trash to Cash” di mana hasil kutipan bahan buangan berjaya dikumpul dengan jumlah keseluruhan sebanyak 774 kilogram melibatkan pelbagai kategori bahan seperti:
• Kertas sebanyak 167 kilogram
• Kotak sebanyak 70 kilogram
• Plastik sebanyak 45 kilogram
• Besi sebanyak 210 kilogram
• Aluminium sebanyak 41 kilogram
• E-Waste sebanyak 94 kilogram
• Minyak masak terpakai sebanyak 147 kilogram
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan awam malah memperkukuh kesedaran masyarakat tentang potensi ekonomi bahan buangan serta kepentingan mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kehidupan seharian.
Majlis Daerah Cameron Highlands merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan, komuniti tempatan serta para sukarelawan atas kerjasama padu dalam menjayakan program ini. Semoga usaha berterusan ini menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan menjadikan Cameron Highlands daerah yang bersih, hijau serta lestari.