MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM OF UNDERSTANDING (MoU) ANTARA SMACH, UPM DAN WAGENINGEN UNIVERSITY & RESEARCH (WUR)
Sumber Berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto Oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 11 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Wageningen University & Research (WUR) yang berlangsung di Zenith Hotel, Cameron Highlands pada hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda pada pukul 11.00 pagi telah disambut oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid serta barisan kepimpinan daerah Cameron Highlands.
Majlis dimulakan dengan lawatan Kebawah Duli Paduka Baginda ke Workshop Towards Sustainability Modern Agriculture for Cameron Highlands yang menfokuskan kepada usaha memperkukuh pembangunan pertanian moden dan mampan di Cameron Highlands melalui pendekatan inovatif, teknologi terkini dan amalan pertanian lestari.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara SMACH, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Wageningen University & Research (WUR). Kerjasama strategik ini bertujuan memperkasa penyelidikan, pemindahan teknologi, inovasi serta pembangunan pertanian lestari demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan melawat reruai pameran sebelum berangkat meninggalkan majlis. Majlis berakhir dengan jayanya dan mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memacu transformasi sektor pertanian Cameron Highlands ke arah yang lebih progresif dan berdaya saing di peringkat global.















