MENU

 

PENGUNJUNG DAN PENIAGA CAMERON HIGHLANDS PERLU PATUH SOP

PENGUNJUNG ke pusat peranginan Cameron Highlands dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan normal baharu bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Datuk Zainal Abidin Md Amin berkata semua pihak diminta peka dengan situasi yang melanda negara ketika ini dan keutamaan ialah penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka dan pensanitasi tangan.

Menurutnya, MDCH kesal dengan sikap peniaga dan pengunjung yang tidak mengamalkan normal baharu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika berada di tempat awam.

 

Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Md Amin berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan

"Tinjauan di sekitar lokasi tarikan pengunjung ini semalam mendapati orang ramai, khususnya pengunjung tidak mengamalkan SOP yang ditetapkan terutama penjarakan sosial satu meter.

"Dalam hal ini, orang ramai dinasihat lebih berhati-hati apabila berada di tempat awam untuk memastikan mereka terhindari daripada wabak terbabit. Bagi peniaga pula mereka perlu patuh segala syarat ditetapkan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, bagi pematuhan SOP di Cameron Highlands, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan penandaan satu meter di premis perniagaan di daerah itu.

Katanya, langkah itu untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP termasuk mendaftar nama, nombor telefon dan pemeriksaan suhu sebaik memasuki premis.

"Semua premis perniagaan terutama restoran dan medan selera di Cameron Highlands dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh PKPP.

"Antara syarat ditetapkan ialah pensanitasi tangan perlu disediakan selain premis juga perlu disanitasi sebanyak tiga kali setiap hari," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 3:13 PM