MENU

 

CAMERON HIGHLANDS, 14 OKTOBER 2021 : Bantuan Prihatin Pahang yang dimulakan sejak tahun lalu dah sudah masuk ke fasa 4 menjadi lambang keprihatinan dan kasih sayang Kerajaan Negeri kepada rakyat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil ilhamnya itu menjadi antara pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk membela nasib rakyat.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang kepada penduduk di Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

“Ini jelas membuktikan kerajaan negeri akan lihat daripada semua sudut, mana-mana yang kita boleh bagi bantuan, kita bagi tapi bantuan adalah bersasar.

“Ini juga adalah daripada lebihan kutipan hasil kerajaan negeri Pahang yang dikembalikan semula kepada rakyat dan itulah janji saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada penduduk-penduduk daerah Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata hari ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada penduduk di Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor serta barisan exco lain.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata kemampuan Kerajaan Negeri dari segi pencapaian yang memberangsangkan memberi banyak ruang untuk menyumbang kepada pelbagai sektor melibatkan pembangunan dan kemajuan negeri.

“Baru-baru ini saya telah luluskan lebih RM700,000 bagi tujuan pendidikan di negeri ini termasuk program Transfomasi Pendidikan Pahang, Bantuan Prihatin Pahang dan insentif kecemerlangan STPM 2020.

“Saya yakin rakyat boleh menilai segala usaha yang dilakukan dalam membela nasib rakyat dan Pahang mampu dibangunkan sebagai sebuah negeri yang berdikari,” katanya. -PAHANGMEDIA