PROGRAM MINI EKSPO KEMAHIRAN REMAJA KEMAS PAHANG TAHUN 2025
Sumber: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 17 Oktober 2025 – Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid telah hadir mewakili YAB Menteri Besar Pahang bagi merasmikan Program Mini Ekspo Kemahiran Remaja KEMAS Pahang Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Gemilang, SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands pada pukul 11.00 pagi tadi.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Pahang ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan remaja dan masyarakat setempat mengenai peluang pendidikan serta latihan kemahiran yang ditawarkan oleh KEMAS dan agensi-agensi berkaitan. Antara objektif utama program ini ialah untuk melahirkan remaja berkemahiran, berdaya saing dan mampu berdikari dalam pelbagai bidang kemahiran seperti jahitan, kulinari, teknologi maklumat, dandanan dan keusahawanan.
Program Mini Ekspo ini turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan institusi latihan kemahiran yang membuka reruai pameran, mengadakan sesi demonstrasi kemahiran serta menawarkan khidmat rundingan kerjaya kepada pengunjung. Selain itu, turut diadakan pameran hasil kerja pelatih KEMAS dan pertandingan kemahiran sebagai platform memperagakan bakat serta kreativiti golongan muda.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS Negeri Pahang, Tuan Zulkefli bin Ahmad Nazri, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands Haji AB Muhaimin bin AB Hamid, serta Pengetua SMK Sultan Ahmad Shah, Tuan Azmi bin Ahmad.
Dalam ucapan perasmian, Yang Dipertua MDCH, Tuan Rudyfasla bin Mujid menzahirkan penghargaan atas usaha KEMAS yang berterusan dalam membangunkan potensi belia melalui pendidikan tidak formal dan latihan kemahiran. Beliau turut menegaskan bahawa program seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Pihak Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KEMAS Pahang atas jemputan serta kesempatan untuk turut bersama menjayakan program yang bermanfaat ini. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi kerajaan serta memperkasakan pembangunan modal insan di Negeri Pahang.