MESYUARAT PENUH MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS BIL. 11 TAHUN 2025 & RETREAT AHLI MAJLIS, MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS TAHUN 2025
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Khidmat Pengurusan, MDCH
GENTING HIGHLANDS, 20 November 2025 - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Penuh MDCH Bil. 11 Tahun 2025 pada sesi pagi diikuti dengan Retreat Ahli Majlis MDCH Tahun 2025 pada sesi petang bertempat di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands hari ini.
Mesyuarat Penuh MDCH Bil. 11/2025 ini dipengerusikan oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Rudyfasla bin Mujid dengan kehadiran Setiausaha MDCH, Encik Mazlan bin Mohamed Isa, Ahli-ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan/bahagian/unit dalaman yang terlibat. Mesyuarat ini membincangkan pelbagai perkara pentadbiran, perancangan pembangunan, isu-isu semasa serta laporan kemajuan program dan projek di seluruh kawasan pentadbiran MDCH. Platform ini juga menjadi medan penting bagi penyelarasan dasar dan tindakan strategik dalam usaha memperkukuh tadbir urus tempatan.
Pada sesi petang, berlangsung pula Retreat Ahli Majlis MDCH Tahun 2025 yang bertujuan mengukuhkan kefahaman, hala tuju dan kerjasama antara Ahli-ahli Majlis dalam memastikan perancangan pembangunan MDCH terus mampan dan berkesan. Retreat ini memberi ruang kepada perbincangan mendalam mengenai cabaran semasa, peningkatan mutu perkhidmatan, penambahbaikan pengurusan aduan serta penyediaan strategi yang lebih selaras menghadapi tahun 2026.
Retreat ini dimulai dengan penyampaian taklimat berkenaan Garis Panduan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang oleh Ketua Penolong Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Encik Norden bin Zakaria. Seterusnya, para Ahli Majlis turut diberi pendedahan berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian, inovasi kerja serta penyusunan keutamaan program yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk Cameron Highlands. Program ini dijangka membantu memperkukuh komitmen bersama dalam memastikan MDCH terus maju seiring kehendak pemegang taruh dan perkembangan semasa.
Majlis Daerah Cameron Highlands merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat atas kerjasama menjayakan kedua-dua sesi penting ini. Penganjuran Mesyuarat Penuh dan Retreat pada hari ini membuktikan komitmen MDCH dalam mempertingkat tadbir urus, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta perancangan strategik yang lebih menyeluruh demi kemajuan daerah Cameron Highlands.













