LAWATAN PUSAT PERMINDAHAN SEMENTARA (PPS)
DAN KAWASAN KEJADIAN RUNTUHAN PUNCAK ARABELLA TANAH RATA
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 1 Disember 2025 – Kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran Blok C, Pangsapuri Puncak Arabella yang sebelum ini menyebabkan laluan keluar masuk terhalang kini kembali selamat dilalui selepas kerja-kerja pembersihan dan pengalihan tanah berjaya dilaksanakan dengan pantas.
Kawasan kejadian mendapat perhatian segera YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Pahang yang turun padang meninjau situasi tersebut selepas menyantuni mangsa di Pusat Permindahan Sementara (PPS) Dewan Puncak Arabella.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YDH Dato’ Azry Akmar bin Dato’ Hj Ayob, Timbalan Ketua Polis Pahang, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Encik Mazlan bin Mohamed Isa, Setiausaha MDCH, Ir. Ts. Walter Taimin Jurutera Daerah Cameron Highlands serta ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit MDCH.
Sehubungan itu, para pengunjung yang merancang ke Cameron Highlands tidak perlu bimbang untuk meneruskan percutian kerana kejadian tanah runtuh tersebut tidak melibatkan atau menjejaskan laluan utama ke destinasi tanah tinggi ini.













