PERHIMPUNAN PAGI MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS KALI KE-4 TAHUN 2025
Sumber : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 16 Disember 2025 – Perhimpunan Pagi Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) Kali Ke-4 bagi tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata. Perhimpunan ini telah dihadiri oleh hampir keseluruhan pegawai serta kakitangan daripada semua jabatan/bahagian/unit dalaman MDCH.
Perhimpunan yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Allah Rahmatkan Raja Kami, lagu korporat MDCH dan lagu Perkhidmatan Awam diikuti dengan bacaan doa serta bacaan ikrar integriti.
Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid turut hadir dan seterusnya menyampaikan amanat kepada seluruh warga kerja MDCH. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan nilai integriti, profesionalisme serta semangat kerja berpasukan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam. Beliau turut menyeru agar semua pegawai dan kakitangan MDCH sentiasa meningkatkan prestasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat demi kesejahteraan dan kemajuan daerah Cameron Highlands.
Dalam perhimpunan tersebut, Yang Dipertua MDCH turut menyempurnakan penyerahan simbolik kejayaan MDCH menerima Anugerah Bandar Bahagia 2025, Penghargaan Sempena Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa serta Anugerah Pahang 1st 2025 kepada warga kerja MDCH. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen, kerjasama serta dedikasi berterusan seluruh warga kerja MDCH dalam memastikan kesejahteraan komuniti, tadbir urus yang berkesan serta penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat. Penyerahan simbolik ini turut menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga MDCH untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dan berdaya saing.
Perhimpunan ini turut diserikan dengan pemakaian lencana integriti kepada kakitangan baru dan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa kakitangan MDCH yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang suku kedua tahun 2025. Penganugerahan ini merupakan salah satu inisiatif pihak MDCH bagi menghargai sumbangan serta memberi motivasi kepada warga kerja agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen.
Selesai perhimpunan, satu saringan ujian air kencing telah dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Raub. Pelaksanaan saringan ini bertujuan sebagai langkah pencegahan awal serta pemantauan berterusan bagi memastikan warga kerja MDCH bebas daripada penyalahgunaan dadah. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat, disiplin diri dan pematuhan kepada etika perkhidmatan awam selaras dengan usaha kerajaan dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah di tempat kerja.
Perhimpunan yang berakhir sekitar pukul 10.00 pagi tersebut bukan sahaja berjaya memperkukuhkan semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan warga kerja MDCH malah menjadi platform penting bagi pihak pengurusan menyampaikan dasar, hala tuju serta aspirasi MDCH ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.













