KDPB SULTAN PAHANG TINJAU SENDIRI KEADAAN TERKINI CAMERON HIGHLANDS
CAMERON HIGHLANDS, 5 Januari 2026 — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan meninjau sendiri keadaan semasa di sekitar Cameron Highlands sejurus selesai menghadiri acara-acara rasmi sempena lawatan Paduka Baginda ke daerah peranginan tanah tinggi itu.
Pada tinjauan tersebut, Paduka Baginda berkenan memandu sendiri bagi melihat dengan lebih dekat aktiviti pertanian, perniagaan dan pelancongan yang menjadi nadi ekonomi utama Cameron Highlands. Sepanjang tinjauan, Paduka Baginda berpeluang menyaksikan situasi lalu lintas, operasi premis jualan, bangunan-bangunan perniagaan serta kebun-kebun moden yang mengamalkan teknologi pertanian terkini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut memberi peluang untuk menyantuni para pengusaha tempatan dan pelancong yang berada di sekitar kawasan tumpuan, sekali gus mendengar sendiri pandangan serta maklum balas berkaitan kemudahan awam, perniagaan dan sektor pelancongan di daerah tersebut.
Selain itu, Paduka Baginda turut berkenan melihat kemudahan infrastruktur yang telah siap dibangunkan, termasuk sebuah jambatan baharu di Kampung Taman Sedia, yang dijangka dapat meningkatkan tahap perhubungan serta memudahkan pergerakan penduduk setempat dan pengunjung.
Lawatan dan tinjauan Paduka Baginda ini mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan Institusi Diraja Pahang dalam memastikan pembangunan Cameron Highlands dilaksanakan secara seimbang, lestari dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta negeri.








