PROGRAM BACK TO SCHOOL DENGAN KERJASAMA TENAGA NASIONAL BERHAD (TNB)
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam Dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 10 Januari 2026 — Program Back to School dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya dianjurkan pada hari ini bertempat di Dewan Puncak Arabella sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB dalam membantu meringankan beban ibu bapa serta menyemarakkan semangat murid-murid menjelang sesi persekolahan baharu.
Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands. Dalam ucapan perasmian, beliau menzahirkan penghargaan kepada TNB atas komitmen berterusan dalam menyokong kesejahteraan komuniti setempat khususnya dalam bidang pendidikan yang menjadi asas penting pembentukan generasi masa hadapan.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Affendi bin Abd Rahman, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang yang menegaskan bahawa Program Back To School ini merupakan antara usaha TNB untuk memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat permulaan persekolahan yang lebih selesa dan berkeyakinan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Cik Tai Ron Bing, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Cameron Highlands serta Encik Aidil Adli bin Jalaludin, Ahli Majlis, Majlis Daerah Cameron Highlands.
Dalam program ini, seramai 51 orang pelajar telah menerima sumbangan bantuan persekolahan bagi membantu meringankan kos persediaan persekolahan keluarga penerima. Sumbangan ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih ceria dan berdaya saing.
Program ini jelas mencerminkan kerjasama erat antara sektor korporat dan agensi kerajaan tempatan dalam usaha memperkukuh kebajikan masyarakat sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan di daerah Cameron Highlands.








