MENU
MAJLIS PERMUAFAKATAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN: PROGRAM 1ST DAY AT SCHOOL BERSAMA POLIS DIRAJA MALAYSIA PERINGKAT DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
CAMERON HIGHLANDS, 12 Januari 2026 – Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan menerusi Program 1st Day At School Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Daerah Cameron Highlands telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah (SMKSAS), Cameron Highlands, pagi ini.
 
Majlis yang bermula tepat pada pukul 7.45 pagi itu diadakan bertujuan menyantuni kehadiran murid ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan 2026 sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara pihak sekolah, agensi keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan kondusif.
 
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Mazlan bin Mohamed Isa, Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands yang telah bersama-sama menyantuni kehadiran para murid serta warga pendidik di sekolah berkenaan.
 
Atur cara majlis dimulakan dengan Nyanyian Lagu Negaraku diikuti Nyanyian Lagu “Allah Rahmatkan Raja Kami”, Bacaan Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa bagi memohon keberkatan dan kelancaran sepanjang sesi persekolahan baharu.
 
Majlis diteruskan dengan pesanan Duta Sahsiah yang menekankan nilai disiplin, sahsiah terpuji serta kepentingan mematuhi peraturan sekolah dan undang-undang dalam kalangan murid.
 
Seterusnya, majlis menyaksikan Ucapan Aluan oleh Encik Azmi bin Ahmad, Pengetua SMK Sultan Ahmad Shah yang merakamkan penghargaan atas kehadiran semua pihak serta komitmen berterusan agensi terlibat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan sahsiah murid.
 
Majlis kemudian disusuli dengan Ucapan oleh DSP Aziz bin Abdullah, Timbalan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands yang menzahirkan sokongan Polis Diraja Malaysia terhadap usaha membentuk murid berdisiplin, berakhlak mulia serta menjauhi gejala sosial dan salah laku jenayah.
 
Kemuncak majlis adalah Ucapan Perutusan Sesi Persekolahan 2026 yang disampaikan oleh Tuan Haji Ab Muhaimin bin Ab Hamid, Pegawai Pendidikan Daerah Cameron Highlands yang menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Negeri Pahang dalam memastikan sistem pendidikan negeri terus diperkasa selari dengan aspirasi pendidikan negara.
 
Program seumpama ini diharapkan dapat menyemai semangat kebersamaan, meningkatkan kesedaran keselamatan serta membina jati diri murid sejak hari pertama persekolahan sekali gus melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan berwawasan.
 

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp

mpkp