MENU
LAWATAN KERJA KE BANGUNAN SEMENTARA SEKOLAH RENDAH AGAMA ISLAM NEGERI (SRAIN)
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 15 Januari 2026 – Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Tuan Rudyfasla bin Mujid turut hadir dalam lawatan kerja yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ke bangunan sementara Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) Cameron Highlands, hari ini.
 
Lawatan tersebut bertujuan meninjau operasi semasa sekolah berkenaan di samping melihat keadaan tapak cadangan pembinaan bangunan kekal SRAIN Cameron Highlands bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek berjalan lancar serta memenuhi keperluan pendidikan agama Islam di daerah ini.
 
Sekolah yang kini beroperasi di bangunan sementara itu mempunyai seramai 10 orang pelajar di bawah bimbingan enam orang guru, dan merupakan SRAIN pertama di negeri Pahang. Penubuhan sekolah ini menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh syiar Islam serta memperkasa pendidikan agama sejak peringkat awal di negeri ini.
 
Dalam lawatan berkenaan, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim turut diberi taklimat mengenai pengurusan sekolah, kemudahan sedia ada serta cabaran yang dihadapi khususnya dari segi infrastruktur dan keperluan sokongan bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.
 
Lawatan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan SRAIN Cameron Highlands secara lebih terancang sekali gus memperkukuh sistem pendidikan Islam dan melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang.

lkSRAIN

lkSRAIN

lkSRAIN

 

lkSRAIN

lkSRAIN