MENU

PROGRAM PLOGGING MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS SOKONG PENGUATKUASAAN PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT

CAMERON HIGHLANDS, 15 Januari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menganjurkan program plogging sebagai satu inisiatif kesedaran dan khidmat masyarakat bagi menyokong pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat yang mula dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026.
 
Program berkenaan telah disempurnakan dengan acara pelepasan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Mujid dengan diiringi oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa bertempat di Tapak Gelanggang Petanque MDCH, Tanah Rata.
 
Program plogging yang menggabungkan aktiviti riadah dan pembersihan kawasan awam ini melibatkan penyertaan warga kerja MDCH, jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Cameron Highlands serta Ahli Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Puncak Arabella. Aktiviti ini bertujuan memupuk budaya kebersihan, meningkatkan kesedaran sivik serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan alam sekitar.
 
Dalam ucapan pembukaan Yang Dipertua MDCH menyatakan bahawa Perintah Khidmat Masyarakat bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan menginsafkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran. Orang ramai diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata khususnya di tempat awam.
 
Sehubungan dengan itu, MDCH menegaskan bahawa selepas 1 Januari 2026, mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam (6) bulan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
 
Pelaksanaan program plogging ini jelas menunjukkan komitmen Majlis Daerah Cameron Highlands dalam menyokong sepenuhnya tindakan dan dasar kerajaan ke arah memperkukuh kebersihan, kelestarian alam sekitar serta membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin dan berhemah.
 
MDCH berharap usaha berterusan melalui program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran awam dan menjadikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan yang bersih, indah dan lestari untuk generasi akan datang.

 

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch

ppmdch