MENU
SESI LIBAT URUS BANCI EKONOMI 2026 BERSAMA MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 5 Februari 2026 – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pahang telah mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) Strategik Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bersama Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang berlangsung di Bilik Setiausaha, MDCH.
 
Ketibaan delegasi DOSM Pahang telah disambut oleh Encik Mazlan bin Mohamed Isa, Setiausaha MDCH serta Encik Muhammad Safwan Izzat bin Rosli, Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MDCH.
 
Sesi libat urus ini telah dihadiri oleh Pengarah DOSM Pahang, Encik Razaman Ridzuan, yang diiringi oleh Ketua Pejabat Perangkaan Bentong, Encik Mohd Zulhairi bin Omar serta Encik Mohd Huzaidi Hasan.
 
Tujuan utama sesi ini adalah untuk membincangkan potensi kerjasama strategik antara DOSM Pahang dan MDCH dalam menyokong pelaksanaan Banci Ekonomi 2026, khususnya bagi memastikan liputan banci yang lebih menyeluruh. Fokus turut diberikan kepada penglibatan pertubuhan mikro dan sektor informal, yang merupakan komponen penting dalam landskap ekonomi daerah Cameron Highlands.
 
Banci Ekonomi 2026 di daerah Cameron Highlands dijangka melibatkan lebih 3,300 pertubuhan perniagaan, dengan hampir 60 peratus daripadanya terdiri daripada pertubuhan berstatus mikro, sekali gus menekankan kepentingan kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan dan DOSM bagi menjayakan pelaksanaan banci ini.
 
Majlis Daerah Cameron Highlands merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak DOSM Pahang atas kesudian mengadakan sesi libat urus ini. Diharapkan kerjasama strategik yang terjalin dapat memperkukuh perancangan pembangunan ekonomi serta menghasilkan data statistik yang tepat dan komprehensif demi kesejahteraan masyarakat setempat dan pembangunan daerah Cameron Highlands secara mampan.

slube

slube

slube

slube

slube