KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN HOTEL BAJET & BISNES MALAYSIA (MyBHA) KE MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
CAMERON HIGHLANDS, 26 Februari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, MDCH.
Kunjungan tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Rudyfasla bin Haji Mujid. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa serta Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MDCH, Encik Muhammad Safwan Izzat bin Rosli.
Delegasi Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) telah diketuai oleh Pengerusi MyBHA Pahang iaitu Dato’ Sri K. Vijayendren bersama beberapa wakil persatuan tersebut.
Kunjungan hormat ini bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak industri perhotelan khususnya hotel bajet dan bisnes dengan Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan di Cameron Highlands. Selain itu, sesi perbincangan turut menyentuh mengenai isu-isu berkaitan pengurusan premis penginapan, pematuhan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan serta cadangan kerjasama strategik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan hospitaliti di kawasan Cameron Highlands.
Melalui kunjungan ini, kedua-dua pihak berharap agar hubungan kerjasama yang terjalin dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa demi memastikan industri pelancongan di Cameron Highlands terus berkembang secara mampan dan memberikan manfaat kepada komuniti setempat serta para pengusaha industri pelancongan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda kenangan dan simbolik kepada jalinan kerjasama yang erat antara MDCH dan MyBHA







