MENU

 

KUANTAN - Pemilik premis di Pahang dibenar menggunakan pelekat tulisan jawi pada papan iklan tanpa perlu menukarkan semua tulisan tertera di papan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, kaedah itu bertujuan memudahkan semua pemilik premis di negeri itu agar mematuhi arahan penggunaan tulisan jawi.

"Kita sudah beri tempoh kira-kira 12 bulan kepada pemilik premis dan ia sudah memadai untuk mereka menukar atau menambah tulisan jawi pada papan tanda premis masing-masing.

"Malah, kaedah juga sudah dipermudahkan bagi memastikan kelancaran proses pelaksanaan tulisan jawi pada semua papan tanda dan iklan di Pahang yang berkuat kuasa 1 Januari ini," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Smart Partnership Back To School 2020 di Dewan Utama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan beg sekolah dan baucer alat tulis bernilai RM80.

Turut hadir, Setiausaha MPK, Datuk Hamiza Hamzah.

Mengulas lanjut Abd Rahim berkata, pelekat tulisan jawi yang dilekatkan pada papan tanda dan iklan perlu lebih besar daripada tulisan rumi supaya dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai selain diletakkan di bahagian atas.

Katanya, pemilik premis yang ingkar atau gagal mempamerkan tulisan jawi akan dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM250 bagi kesalahan pertama.

"Kalau pemilik enggan mematuhi arahan buat kali kedua, lesen perniagaan boleh dibatalkan," katanya.

Sementara itu Abdul Rahim berkata, kerajaan Pahang mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan pengumuman mengenai cadangan menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi pada semua papan tanda premis perniagaan di negeri ini melalui pelaksanaannya pada Januari lalu.

"Tidak ada keperluan untuk kita menunda pelaksanaan dan penguatkuasaan ini. Kita sudah berikan masa secukupnya kepada semua pihak," katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah ketika bergelar Pemangku Raja Pahang pada November 2018 bertitah agar semua pihak di negeri ini kembali memperkasakan tulisan jawi yang mempunyai sejarah kegemilangan membanggakan.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/…/Tak-perlu-tukar-papan-ikla…
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf