PROGRAM PENYEDIAAN DAN MAJLIS PEMBERIAN BUBUR LAMBUK SEMPENA HARI ULANG TAHUN PENUBUHAN MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS YANG KE-44
CAMERON HIGHLANDS, 3 Mac 2026 – Sempena sambutan ulang tahun penubuhan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) kali ke-44, satu Program Penyediaan dan Majlis Pemberian Bubur Lambuk telah diadakan dengan penuh semangat muafakat dan kebersamaan di Dewan Puncak Arabella, Tanah Rata pada hari ini.
Program ini menyaksikan penglibatan aktif Pengerusi PUSPANITA Majlis Daerah Cameron Highlands, Puan Suzilawati binti Abdul Wahab yang turut serta bersama kakitangan MDCH dalam menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong. Suasana di dewan amat meriah dengan kerjasama erat antara warga kerja MDCH yang berganding bahu bermula daripada proses penyediaan bahan, memasak sehingga pembungkusan untuk edaran.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan ulang tahun penubuhan MDCH, malah sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kepada komuniti setempat khususnya para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan. Bubur lambuk yang telah siap dimasak kemudiannya diagihkan oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa di sekitar tapak Bazar Tanah Rata dan Tapak Bazar Brinchang.
Edaran tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Program seumpama ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara pihak MDCH dan masyarakat, selaras dengan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kesejahteraan komuniti serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga Cameron Highlands.
MDCH komited untuk terus menganjurkan program-program berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan sebagai tanda penghargaan kepada penduduk setempat, di samping memperkukuhkan imej perkhidmatan awam yang prihatin dan mesra rakyat.













