SESI KUNJUNGAN AUDIT BAGI PEMANTAUAN ISO 9001:2015 DAN ISO 37001:2016 SERTA PENSIJILAN ISO/IEC 27001:2022 DI MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
Sumber berita: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 31 Oktober 2025 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menerima kunjungan daripada pasukan audit SIRIM QAS International Sdn. Bhd. bagi melaksanakan sesi pengauditan pemantauan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) serta pensijilan baharu ISO/IEC 27001:2022 (Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat – Peringkat 2).
Sesi audit yang berlangsung selama dua hari, bermula 30 hingga 31 Oktober 2025, diadakan di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Majlis Daerah Cameron Highlands. Seramai tujuh orang anggota pasukan audit daripada SIRIM QAS International telah terlibat dalam sesi ini.
Tujuan audit ini adalah bagi memastikan tahap pematuhan MDCH terhadap piawaian antarabangsa dalam pengurusan kualiti, pencegahan rasuah dan keselamatan maklumat berada pada tahap terbaik. Melalui pelaksanaan audit ini, MDCH berhasrat untuk terus memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memastikan integriti dan keselamatan data sentiasa terjamin.
Sesi pengauditan turut melibatkan pelbagai jabatan di bawah MDCH bagi menilai keberkesanan pelaksanaan prosedur dan amalan pengurusan yang selaras dengan keperluan standard ISO.
Majlis Daerah Cameron Highlands komited untuk mengekalkan budaya kerja berintegriti, berkualiti dan berinovasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta memastikan sistem pengurusan yang mampan dan diyakini.

















