MENU
KUNJUNG HORMAT MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR (MBAS) ENVIRONMENTAL CONVOY KE MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 31 Oktober 2025 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menerima kunjungan hormat daripada MBAS Environmental Convoy yang terdiri daripada kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pelbagai jabatan yang terlibat dalam hal ehwal alam sekitar.
 
Ketibaan konvoi bermotosikal tersebut di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Cameron Highlands telah disambut mesra oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa bersama beberapa pegawai MDCH.
 
Konvoi ini merupakan sebahagian daripada usaha MBAS untuk mempromosikan program “Alor Setar Carbon Free Day” sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Alor Setar ke-22, di samping menguar-uarkan kempen “Mai Singgah Alor Setar Lagi” serta Tahun Melawat Kedah.
 
Program konvoi bermotosikal ini disertai oleh kumpulan “rider” MBAS yang menunggang motosikal berkuasa kurang daripada 250cc, melambangkan komitmen mereka terhadap amalan mesra alam dan pengurangan pelepasan karbon sejajar dengan inisiatif kelestarian bandar hijau.
 
Dalam kunjungan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai inisiatif kelestarian alam sekitar, amalan hijau di peringkat PBT, serta usaha bersama memupuk kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar.
 
Majlis Daerah Cameron Highlands menyambut baik kunjungan ini sebagai satu platform memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan dan hijau di Malaysia.
 

mbas

mbas

mbas

mbas

mbas

Kemaskini Terakhir: Isnin, 3 November 2025 - 10:06am