TAKLIMAT DAN LAWATAN TAPAK CADANGAN PROJEK TAMAN REKREASI MADANI 2026
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 2 Disember 2025 - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menerima kunjungan daripada Jabatan Landskap Negara (JLN) bagi sesi Taklimat dan Lawatan Tapak Cadangan Projek Taman Rekreasi Madani 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kelab Golf Sultan Ahmad Shah (KGSAS) pagi tadi.
Sesi taklimat berkenaan telah dipengerusikan oleh LAr. Md Zaimi Bin Zainudin, Pengarah Bahagian Pengurusan Landskap, Jabatan Landskap Negara. Taklimat ini turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Landskap, Ketua Jabatan Perbendaharaan serta wakil-wakil daripada jabatan/bahagian/unit MDCH.
Program ini bertujuan mengenalpasti kesesuaian lokasi serta potensi pembangunan taman rekreasi berkonsepkan Madani yang bakal direalisasikan pada tahun 2026. Beberapa aspek teknikal turut dibincangkan termasuk reka bentuk, keperluan infrastruktur, impak komuniti serta elemen kelestarian yang menjadi teras pembangunan projek.
Selesai sesi taklimat, pihak JLN bersama delegasi MDCH telah menjalankan lawatan tapak ke beberapa kawasan yang dikenal pasti antaranya Golden Hill, Kampung Taman Sedia, Orchid Deluxe Park, Ringlet serta Lembah Bertam, Cameron Highlands.
Lawatan tapak ini memberi gambaran jelas mengenai potensi setiap lokasi selain membantu pihak JLN membuat penilaian terperinci sebelum dimuktamadkan sebagai tapak cadangan rasmi Projek Taman Rekreasi Madani 2026.
MDCH mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Landskap Negara atas kerjasama strategik ini dan berharap projek ini kelak mampu menyediakan ruang riadah moden, inklusif dan mesra komuniti bagi penduduk serta pelancong di Cameron Highlands.

















