SESI PERJUMPAAN DAN AMANAT TAHUN BARU 2026 JABATAN PERANCANGAN MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS.
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Perancangan, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 15 Januari 2026 (Khamis) - Satu sesi perjumpaan dan amanat tahun baru 2026 diantara ketua jabatan dengan semua kakitangan Jabatan Perancangan, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Pejabat MDCH pada hari ini.
Tujuan sesi tersebut diadakan adalah bagi membentangkan prestasi jabatan pada tahun 2025 dan memaklumkan hala tuju serta perancangan jabatan bagi tahun 2026. Sesi tersebut dipengerusikan oleh Encik Ahmad Ridzuan bin Abd Mubin, Ketua Jabatan Perancangan MDCH.
Selain itu, sesi tersebut juga meraikan kakitangan sedia ada yang akan berpindah secara dalaman iaitu Puan Siti Khadijah binti Abdullah ke Unit Pusat Setempat (OSC) MDCH dan Encik Mohd Helmi bin Mohd Yunus ke Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDCH. Disamping itu, sesi tersebut turut meraikan 2 orang kakitangan baru yang akan menyertai Jabatan Perancangan MDCH mulai bulan Februari 2026 iaitu Puan Amylia Nazirah binti Muhamad Loan dari Unit Tempat Letak Kereta MDCH dan En Mohamad Syukri bin Mohamed Ali dari Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDCH.
Didalam ucapan dan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Perancangan MDCH, penekanan mengenai integriti dan anti rasuah sangat dititikberatkan serta kakitangan perlu menjaga imej jabatan dan perkhidmatan awam.
Manakala antara perancangan dan hala tuju jabatan pada tahun 2026 pula akan tertumpu kepada peningkatan hasil pendapatan MDCH melalui Caj Pemajuan, Garis Panduan Caj Sumbangan Kawasan Lapang, Garis Panduan Caj Sumbangan Tempat Letak Kereta, Kebenaran Merancang Perubahan Material dan sebagainya.
Selain itu, sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan turut mengambil kira Penarafan Bandar Pintar Peringkat Pertama iaitu Smart City Early Adopter, mengekalkan status antara penerima Anugerah Bandar Paling Bahagia, persediaan Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2040 (Penggantian) dan cuba meneroka peluang anugerah, persijilan, pengiktirafan dan penarafan lain.
Jabatan Perancangan MDCH juga akan meningkatkan kecekapan pemantauan dan penguatkuasaan melalui kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pematuhan berperingkat syor tatakelola melalui kursus undang-undang dan proses pendakwaan di mahkamah.
Ketua Jabatan Perancangan MDCH juga mengambil peluang pada sesi tersebut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta tahniah melalui usaha jitu semua kakitangan di bawah Program Bandar Selamat, Inisiatif Kejiranan Hijau, Murninets, Sustainable Development Goals (SDGs), ESG dan sebagainya yang membawa kepada Pengiktirafan Bandar Mampan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 dan Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2025.
Manakala dari segi cabaran pula, kawalan perancangan pemajuan merupakan antara cabaran besar berikutan tekanan pembangunan yang semakin kompleks dan dinamik serta memerlukan sokongan semua pihak.
Nasihat dan harapan terakhir yang disampaikan pada sesi perjumpaan tersebut ialah kakitangan Jabatan Perancangan MDCH hendaklah lebih bersedia untuk berubah dan berhijrah, tidak lagi boleh berada di takuk lama dan tidak lagi boleh berada di zon yang selesa. Kekangan yang dihadapi hendaklah dianggap sebagai ujian dan cabaran seperti ibarat pepatah "peperangan hebat itu disediakan hanya untuk para pejuang sejati yang hebat".
Semoga kakitangan Jabatan Perancangan MDCH akan lebih bersemangat, bermotivasi dan sentiasa cemerlang didalam apa jua bidang di peringkat jabatan termasuk didalam memberi perkhidmatan dan sumbangannya kepada Daerah Cameron Highlands amnya dan kepada MDCH khususnya.












