MENU
BENGKEL LATIHAN AUDIT DALAMAN SISTEM PENGURUSAN BERSEPADU (SPB) TINGKAT KEKOMPETENAN WARGA MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 12 Januari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menganjurkan Bengkel Latihan Audit Dalaman Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) yang melibatkan piawaian ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) dan ISO/IEC 27001:2022 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (SPKM).
 
Bengkel ini akan berlangsung selama tiga (3) hari bermula 12 hingga 14 Januari 2026 (Isnin hingga Rabu) bertempat di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Majlis Daerah Cameron Highlands dan disertai oleh pegawai serta kakitangan MDCH yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dan pemantauan Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MDCH.
 
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kefahaman, kompetensi serta keberkesanan pelaksanaan Audit Dalaman SPB khususnya dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan standard ISO yang telah ditetapkan. Selain itu, latihan ini juga memberi penekanan kepada peranan juruaudit dalaman dalam mengenal pasti ketakakuran, menilai keberkesanan kawalan dalaman serta mencadangkan penambahbaikan berterusan dalam organisasi.
 
Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan pendekatan audit dalaman yang sistematik merangkumi aspek perancangan audit, pelaksanaan audit, penyediaan laporan audit serta tindakan susulan, selaras dengan keperluan setiap standard ISO yang diguna pakai oleh MDCH.
 
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Encik Basri bin Zainol daripada SIRIM Academy yang berpengalaman luas dalam bidang audit, pensijilan serta pelaksanaan sistem pengurusan berasaskan ISO. Penyampaian beliau yang bersifat interaktif dan praktikal telah memberi pendedahan jelas kepada peserta berkaitan amalan terbaik audit dalaman.
 
MDCH komited untuk terus memperkukuh tadbir urus, integriti, kualiti perkhidmatan serta keselamatan maklumat melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu yang berkesan, selari dengan aspirasi meningkatkan kepercayaan rakyat dan pihak berkepentingan terhadap penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
 

blad

blad

blad

blad

blad

Kemaskini Terakhir: Isnin, 12 Januari 2026 - 12:38pm