BENGKEL SEMAKAN SEMULA PELAN STRATEGIK MDCH 2021–2025 DAN PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK MDCH 2026–2030
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
GENTING HIGHLANDS, 11 November 2025 - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah menganjurkan Bengkel Semakan Semula Pelan Strategik MDCH 2021–2025 dan Pembangunan Pelan Strategik MDCH 2026–2030 yang bermula pada hari ini bertempat di Bilik Seminar Serindit, Resort World Awana Genting Highlands.
Bengkel pada hari pertama ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa. Dalam ucapan beliau, Tuan Mazlan menekankan kepentingan semakan pelan strategik sebagai panduan hala tuju organisasi agar terus relevan, dinamik dan berpaksikan kepada keperluan semasa serta aspirasi pembangunan mampan daerah Cameron Highlands.
Semua jabatan, bahagian dan unit dalaman MDCH telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membincangkan semakan serta penambahbaikan pelan strategik sedia ada serta pembangunan strategi-strategi baru bagi Pelan Strategik 2026-2030. Sesi ini menekankan kepentingan kerjasama antara jabatan dalam menghasilkan keputusan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Bengkel ini akan berlangsung selama 2 hari dan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hala tuju pembangunan, penyampaian perkhidmatan serta tadbir urus Majlis Daerah Cameron Highlands ke arah pentadbiran yang cemerlang, mampan dan berimpak tinggi.

















