MENU

 

PEKAN. 28 Januari 2020 Bersamaan 3 Jamadilakhir 1441H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenaan mencemar duli berangkat ke Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah bersempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kali ke-179 di sini, pagi tadi. Ketibaan baginda disambut Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain serta Ahli-ahli Majlis dan kakitangan.

Baginda berkenan menyempurnakan majlis angkat sumpah atas pelantikan paduka anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua. Selain itu juga, empat ahli akademik turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang baharu, mereka adalah YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha binti Kamarudin, YBhg. Prof. Madya Dr. Hasan bin Ahmad, YBhg. Prof. Dr. Fariza binti Md. Sham serta YBhg. Dr. Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah.

Ahli-ahli Majlis yang turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, Dato’ Sri Haji Shamsulbahri bin Haji Ibrahim, Sahibus Samahah Mufti, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Yang Berbahagia Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, Yang Hormat Dato’ Sri Md. Sharif bin Shamsuddin, Yang Hormat Dato’ Sri Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Salleh, Yang Hormat Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir bin Yaacob dan Yang Hormat Pengarah JAIP, Dato’ Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha.

Dalam majlis berkenaan baginda turut berkenan mengurniakan sijil penghargaan kepada mantan Ahli Majlis, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan Yang Hormat Dato’ Haji Kamaruddin bin Zakaria.

Pengurniaan sumbangan berjumlah RM1,440,960.00 disempurnakan oleh KDYMM Yang Dipertua kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) sempena program kerjasama Majlis dan JPNP untuk program celik al-Quran pelajar sekolah rendah dan menengah, Program Riadhul Quran Negeri Pahang.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 15 April 2024 - 3:49pm