MENU

Shahidan (gambar) ditemu bual pemberita mengenai rondaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengawal aktiviti penerokaan haram di Cameron Highland, Pahang semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. -fotoBERNAMA

SEPANG: Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dicadangkan membantu pasukan penguat kuasa membanteras aktiviti penerokaan haram di Cameron Highlands, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata JPAM, agensi yang terletak di bawah bidang kuasanya, akan melaksanakan rondaan dan membuat laporan kepada pasukan penguat kuasa jika wujud sebarang aktiviti penerokaan tanah haram.

"JPAM akan meronda di kawasan tanah yang tidak mendapat kebenaran terutamanya (yang diteroka secara haram) oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) serta orang tempatan.

"Kehadiran kita lebih kepada penerokaan baharu atau penerokaan yang melebihi daripada kawasan yang dibenarkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebelum berlepas ke Kuching, Sarawak, hari ini.

Isnin lepas, Shahidan menghadiri Taklimat Op Gading di Cameron Highlands, dan beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena taklimat itu menyatakan kes pencerobohan tanah di Cameron Highlands dipandang serius oleh kerajaan.

Berhubung laporan pada Selasa lepas yang mengaitkan beliau memberi arahan kepada lima platun Askar Wataniah untuk membantu Pejabat Daerah Cameron Highlands membanteras penerokaan tanah di kawasan tersebut, Shahidan berkata ia bukan di bawah bidang kuasanya untuk memberi arahan sedemikian.

"Askar Wataniah bukan di bawah saya, tetapi di bawah Kementerian Pertahanan. Saya cuma kata hendak minta tolong untuk bantu penguatkuasaan di Cameron Highlands," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada Jabatan Hutan agar program "bapa angkat" diwujudkan di kawasan tanah tinggi itu untuk mengembalikan keindahan dan kesejukan Cameron Highlands seperti dahulu.

Beliau berkata agensi kerajaan dan badan sukarela boleh turut serta dalam program itu dalam usaha penanaman semula pokok di kawasan yang telah diteroka secara haram."Saya sendiri jadi bapa angkat di kawasan seluas 10 ekar (4.05 hektar) untuk aktiviti penanaman semula pokok," katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 6 Julai 2017 - 12:53pm