MENU
KDPB SULTAN PAHANG BERKENAN SANTAP PAGI DI THE BOX PORT HUB
 
TANAH RATA, 6 Januari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan bercemar duli berangkat ke The Box Port Hub, di sini, bagi santapan pagi, hari ini.
 
Keberangkatan tiba Paduka Baginda telah disambut oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmad serta Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Encik Rudyfasla Mujid, diiringi ketua-ketua jabatan daerah dan para penggerai premis perniagaan tersebut.
 
Semasa lawatan berkenaan, Paduka Baginda berkenan menikmati hidangan pagi sambil meninjau suasana perniagaan setempat yang menjadi tumpuan penduduk dan pelancong. Keberangkatan Baginda jelas mencerminkan keprihatinan terhadap perkembangan sektor perniagaan tempatan serta sokongan berterusan kepada usahawan kecil dan sederhana di daerah Cameron Highlands.
Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni serta beramah mesra bersama para pengunjung dan penduduk setempat, sekali gus menceriakan suasana dan meninggalkan kenangan bermakna kepada mereka yang hadir.
 
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda ini turut mencerminkan hubungan erat antara Institusi Diraja dengan rakyat, selaras dengan hasrat Baginda untuk sentiasa mendekati denyut nadi serta kesejahteraan masyarakat di negeri Pahang Darul Makmur.
 

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

KDPB

Kemaskini Terakhir: Khamis, 8 Januari 2026 - 8:18am