MENU

 

6

 

PEKAN, 2 OGOS 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenaan mengurniakan gelaran kerabat bergelar dan orang-orang besar negeri kepada tiga individu.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab Rahman berkata, baginda berkenan mengurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar kepada kerabat bergelar, Tengku Dato’ Sri Tan Sri Azlan Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar berkuatkuasa 30 Julai 2021.

“Orang Besar Berempat, YM Tengku Dato’ Sri Haji Zulkifly Tengku Ahmad dikurniakan gelaran Yang Dihormat Mulia Orang Kaya Indera Segara berkuatkuasa 15 Julai 2021.

“Manakala Orang Besar Raja, Encik Ariffudin Mohamad dikurniakan Yang Hormat Tok Pentara Raja berkuatkuasa pada tarikh sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perkara 28 (Bahagian Pertama) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang memperuntukkan bahawa Raja Pemerintah ialah punca bagi segala pangkat-pangkat kebesaran dan pangkat-pangkat kemuliaan di dalam negeri dan baginda sahaja lah seorang yang boleh mengurniakan gelaran-gelaran dan pangkat-pangkat kemuliaan dan mengadakan pangkat-pangkat kebesaran atau kurniaan.

Selanjutnya Fasal (1) Perkara 29 (Bahagian Pertama) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang memperuntukkan bahawa Raja Pemerintah berhak mengurniakan ke atas siapa-siapa jua, baik raja atau bukan raja, apa-apa gelaran atau pangkat-pangkat kemuliaan yang ada sekarang sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual. – PAHANGMEDIA

 

 

 

Kemaskini Terakhir: Rabu, 27 March 2024 - 4:14pm