KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG BERKENAN BERANGKAT KE PERSEMBAHAN TAKLIMAT PEMBANGUNAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 5 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan berangkat bercemar duli ke Persembahan Taklimat Pembangunan Daerah Cameron Highlands yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, hari ini.
Turut hadir ke persembahan taklimat tersebut ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, ADUN Tanah Rata, YB Ho Chi Yang dan pentadbir Negeri Pahang.
Persembahan taklimat dimulakan dengan Taklimat Pengurusan Tanah yang telah disampaikan oleh Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Pegawai Daerah Cameron Highlands. Taklimat tersebut merangkumi aspek pengurusan tanah di daerah ini termasuk perancangan, pemantauan serta langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan tadbir urus tanah dilaksanakan secara berkesan dan berintegriti.
Seterusnya, Taklimat Pembangunan Daerah Cameron Highlands telah dipersembahkan oleh Yang Hormat Dato’ Zaman Azam bin Mohamat Sarif@Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH). Taklimat ini memfokuskan kepada hala tuju pembangunan daerah, pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik serta perancangan jangka panjang yang mampan demi kesejahteraan masyarakat setempat dan pemeliharaan alam sekitar.
Persembahan taklimat diteruskan dengan Taklimat Pembangunan Daerah Cameron Highlands yang disampaikan oleh Tuan Rudyfasla bin Mujid, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands. Taklimat tersebut menekankan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang dan melaksanakan pembangunan, penyediaan kemudahan awam serta usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Secara keseluruhannya, persembahan taklimat yang disampaikan bertujuan memberi gambaran menyeluruh kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang mengenai status semasa pengurusan tanah, pembangunan serta pelan strategik bagi kemajuan daerah Cameron Highlands secara seimbang dan mampan.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ini jelas menzahirkan keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan daerah di samping memastikan kesejahteraan rakyat Cameron Highlands sentiasa terpelihara selaras dengan aspirasi pembangunan negeri Pahang.



















