MENU
KEBERANGKATAN PULANG KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG SELEPAS LAWATAN RASMI DUA HARI DI DAERAH CAMERON HIGHLANDS
 
Sumber: Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh: Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 6 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini berangkat pulang meninggalkan daerah Cameron Highlands setelah selesai mengadakan lawatan rasmi selama dua hari.
 
Keberangkatan pulang Paduka Baginda menandakan penutup kepada siri lawatan rasmi yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra rakyat, sekali gus mencerminkan keprihatinan serta kepekaan baginda terhadap isu pembangunan, pengurusan tanah, pelancongan dan kesejahteraan rakyat di kawasan tanah tinggi tersebut.
 
Sepanjang lawatan, Paduka Baginda telah berkenan menghadiri beberapa pengisian penting termasuk sesi taklimat pembangunan, peninjauan aktiviti pertanian dan pelancongan, pertemuan bersama kepimpinan daerah serta beriadah di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah. Lawatan ini memberi ruang kepada baginda meneliti sendiri situasi semasa serta mendengar pandangan pelbagai pihak berkaitan hala tuju pembangunan Cameron Highlands.
 
Keberangkatan tiba Paduka Baginda di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah pada pukul 11.00 pagi telah disambut oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), YH Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Tuan Rudyfasla bin Mujid serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
 
Lawatan rasmi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan erat antara institusi diraja dengan rakyat jelata malah memperlihatkan sokongan padu baginda terhadap usaha pembangunan mampan, pemeliharaan alam sekitar dan pemerkasaan sektor pelancongan tempatan demi kesejahteraan berterusan penduduk Cameron Highlands.
 
Keprihatinan dan keterlibatan langsung Paduka Baginda sepanjang lawatan tersebut terus menjadi sumber inspirasi kepada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan serta masyarakat setempat untuk berganding bahu memajukan daerah ini secara seimbang, terancang dan lestari.
 

kpk

kpk

kpk

kpk

kpk

kpk

kpk

kpk

kpk

Kemaskini Terakhir: Rabu, 7 Januari 2026 - 3:34pm