MAJLIS MEMULIAKAN KEBERANGKATAN
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA
SULTAN PAHANG KE DAERAH CAMERON HIGHLANDS
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat
Cameron Highlands, 4 Januari 2026 – Majlis Memuliakan Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ke Daerah Cameron Highlands hari ini.
Majlis berkenaan telah diadakan pada jam 11.00 pagi bersamaan 14 Rejab 1447 Hijrah. Seawal jam 10.30 pagi, dif-dif kehormat serta para jemputan telah mula mengambil tempat bagi menyambut keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda.
Tepat jam 11.00 pagi, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah berangkat tiba ke lokasi majlis. Atur cara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Al Fadil Kadi Daerah Cameron Highlands bagi memohon keberkatan, kesejahteraan serta kelancaran sepanjang lawatan diraja tersebut.
Selesai majlis memuliakan keberangkatan, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang seterusnya berangkat ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kelab Golf Sultan Ahmad Shah. Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan pertanian moden dan mampan di Cameron Highlands demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Program diteruskan dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat ke Restoran Dulang Pahang, Cameron Highlands bagi menghadiri Jamuan Diraja yang diadakan khas sempena lawatan rasmi Baginda ke daerah ini.
Pada sebelah petang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut mencemar duli berkenan menyertai aktiviti brisk walk di sekitar kawasan Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands. Aktiviti santai tersebut mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap amalan gaya hidup sihat di samping berkenan meninjau keindahan persekitaran dan landskap semula jadi kawasan berkenaan.
Majlis Memuliakan Keberangkatan ini sekali gus mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja dengan rakyat serta komitmen berterusan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang terhadap pembangunan dan kemajuan Daerah Cameron Highlands secara menyeluruh dan berterusan.

















