MENU
MDCH SERU PENGUNJUNG JAGA KEBERSIHAN DI SEMPADAN CAMERON HIGHLANDS
 
CAMERON HIGHLANDS, 17 Januari 2026 – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) menyeru semua pengunjung serta pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan tumpuan awam khususnya di kawasan sempadan Cameron Highlands-Lipis, Cameron Highlands-Simpang Pulai dan Cameron Highlands-Tapah yang sering menjadi lokasi persinggahan, rehat dan bergambar.
 
MDCH memandang serius isu pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab di ketiga-tiga laluan masuk utama ke Cameron Highlands ini walaupun pihak MDCH telah menyediakan kemudahan tong sampah di kawasan sempadan Cameron Highlands bagi kemudahan pengunjung. Namun begitu, hasil pemerhatian mendapati masih terdapat segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, sekali gus mencemarkan persekitaran serta menjejaskan imej Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan utama negara.
 
Sebagai tanda komitmen dan teladan kepimpinan, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa, Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands turut turun padang dan membantu mengutip sampah di kawasan sempadan Cameron Highlands-Lipis bersama beberapa kakitangan MDCH. Tindakan ini mencerminkan kesungguhan pihak pengurusan tertinggi MDCH dalam memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara serta menjadi contoh kepada masyarakat agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
 
Keadaan yang sama turut dikesan di kawasan sempadan Cameron Highlands–Simpang Pulai dan Cameron Highlands-Tapah yang menjadi laluan popular pelancong daripada negeri Perak. Sikap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan semula jadi tanah tinggi, malah berpotensi menjejaskan keselamatan, ekosistem serta kesihatan awam.
 
MDCH ingin mengingatkan bahawa kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Sikap tidak prihatin seperti membuang sampah sesuka hati bukan sahaja merosakkan keindahan kawasan peranginan malah boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap alam sekitar dan kelestarian Cameron Highlands.
 
Sehubungan itu, MDCH menegaskan bahawa penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat telah berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026 sebagai langkah mendidik dan menginsafkan masyarakat. Pelaksanaan undang-undang ini bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi membentuk kesedaran, disiplin sivik serta rasa tanggungjawab dalam kalangan orang awam.
 
Ingat! Selepas 1 Januari 2026, mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam (6) bulan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
 
“Jangan buang sampah merata-rata. Sayangi alam sekitar, hormati undang-undang.”
 

jkdch

jkdch

jkdch

jkdch

jkdch

Kemaskini Terakhir: Selasa, 20 Januari 2026 - 12:22pm