MESYUARAT PENYELARASAN ACARA CAMERON NIGHT RUN (CAMRUN) EDISI KE-7 & CAMERON ULTRA TRAIL (CULTRA) EDISI KE-10 TAHUN 2026
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 12 Disember 2025 – Mesyuarat Penyelarasan bagi penganjuran Cameron Night Run (CAMRUN) Edisi Ke-7 dan Cameron Ultra Trail (CULTRA) Edisi Ke-10 Tahun 2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Nur Ilham, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Setiausaha MDCH, Tuan Mazlan bin Mohamed Isa yang menekankan kepentingan koordinasi rapi antara semua pihak bagi memastikan kedua-dua acara berprestij ini berjalan lancar, selamat dan mencapai sasaran penyertaan yang lebih besar pada tahun 2026.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Puan Azlihana binti Abdul Rahim, Pengurus Bold Event Management, Encik Ahmad Fais Azmir bin Ahmad Rafie, Pengurus Teknikal Bold Event Management, Encik Muhammad Shahrin Faiz bin Roslan, Pembantu Pengurus Teknikal Bold Event Management, Puan Nabilah Megat Idris, Pengurus Perhubungan Bold Event Management dan ketua-ketua serta wakil jabatan/bahagian/unit MDCH.
Mesyuarat berfokus kepada aspek teknikal, keselamatan peserta, laluan larian, keperluan logistik, persediaan promosi serta penglibatan jabatan-jabatan terlibat bagi meningkatkan mutu penganjuran acara sukan tahunan ini. Pihak Bold Event Management turut membentangkan cadangan penambahbaikan termasuk penstrukturan semula laluan larian.
MDCH komited untuk memastikan Cameron Highlands terus menjadi destinasi utama bagi aktiviti rekreasi dan sukan lasak selaras dengan aspirasi mempromosikan gaya hidup sihat serta merancakkan ekonomi setempat melalui pelancongan sukan.
Majlis Daerah Cameron Highlands sentiasa menyokong penganjuran aktiviti yang sihat, berimpak dan bermanfaat kepada komuniti serta para peserta dari dalam dan luar negara.












