PROGRAM TOWNHALL BERSAMA PEKEBUN DAN PEMILIK PUSAT PENGUMPULAN SAYUR DAN BUAH PERINGKAT DAERAH CAMERON HIGHLANDS
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat, MDCH
CAMERON HIGHLANDS, 23 Oktober 2025 – Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Tuan Rudyfasla bin Mujid telah menghadiri Program Townhall bersama Pekebun dan Pemilik Pusat Pengumpulan Sayur dan Buah Peringkat Daerah Cameron Highlands yang berlangsung di Dewan Arabella, Tanah Rata pada petang ini.
Program yang bermula pada pukul 1.00 petang hingga 5.00 petang itu telah dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan, wakil pertubuhan pekebun, pengusaha pusat pengumpulan hasil pertanian serta wakil-wakil dari agensi penguatkuasaan dan pengawalseliaan makanan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB. Dato’ Ir. Razali bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang hadir sebagai tetamu kehormat. Ketibaan beliau disambut oleh para pegawai dan dif jemputan sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Pahang, diikuti dengan bacaan doa.
Dalam ucapannya, YB. Dato’ Ir. Razali menekankan kepentingan pematuhan terhadap standard keselamatan makanan dan amalan pertanian baik bagi memastikan hasil pertanian Cameron Highlands kekal berkualiti serta mampu menembusi pasaran antarabangsa khususnya Singapura.
Pengisian program ini turut melibatkan beberapa sesi taklimat oleh agensi-agensi berkaitan. Selain itu, sesi libat urus bersama YB. Dato’ Ir. Razali turut diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa serta cabaran yang dihadapi oleh para pekebun dan pengusaha pusat pengumpulan dalam industri pertanian tempatan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil MyGAP kepada para petani yang telah mencapai piawaian amalan pertanian baik Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam menghasilkan produk yang selamat dan berkualiti.
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri, agensi teknikal dan komuniti pekebun dalam memastikan industri pertanian Cameron Highlands terus berkembang secara mampan serta memenuhi piawaian keselamatan makanan global.












