MENU
SESI PERJUMPAAN DAN PEMBENTANGAN PENAMBAHBAIKAN TATAKELOLA BERSAMA PEJABAT DAERAH DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS (PDTCH) DAN MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS.
 
Sumber berita : Majlis Daerah Cameron Highlands
Foto oleh : Jabatan Perancangan, MDCH
 
CAMERON HIGHLANDS, 29 Oktober 2025 - Satu sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola (PPT) bersama PDTCH dan MDCH telah diadakan pada hari ini bertujuan memperkukuhkan integriti dalam pengurusan kawalan pembersihan dan kerja tanah di kawasan bercerun dan berbukit di Cameron Highlands.
 
Sesi tersebut dipengerusikan secara bersama oleh KPKPj Mohd Shukor bin Mahmud, Pengarah SPRM Pahang dan Tuan Rudyfasla bin Haji Mujid, Yang Dipertua MDCH selaku tuan rumah.
 
Turut hadir bersama ialah Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, pegawai-pegawai SPRM Pahang, wakil Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, wakil PDTCH dan wakil-wakil daripada jabatan, bahagian dan unit dalaman MDCH berkaitan teknikal pembangunan.
 
Antara perkara utama yang dibentangkan berkaitan secara langsung dengan MDCH berhubung Amalan, Sistem Dan Tatacara Kerja Berkaitan Pengurusan Projek Pembersihan Cerun Bukit di Cameron Highlands adalah cadangan memperkasa tindakan pemantauan, penguatkuasaan dan undang-undang (mahkamah) yang melibatkan permohonan Kebenaran Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan pelan-pelan pembangunan yang lain di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
 
Seterusnya sesi tersebut diteruskan dengan upacara menandatangani komitmen Laporan Penambahbaikan Tatakelola telah ditandatangani oleh pihak MDCH dan PDTCH.
 
MDCH menyambut baik semua teguran dan syor penambahbaikan oleh pihak SPRM Pahang dan akan berusaha memastikan semua keperluan berkaitan pemantauan dan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan tempoh berperingkat yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.

sp

sp

sp

sp

sp

Kemaskini Terakhir: Isnin, 3 November 2025 - 10:06am