MENU

SPRM pandang serius rasuah di Cameron Highlands

Oleh Hasbi Sidek

cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang seirus dakwaan kegiatan rasuah semakin berleluasa membabitkan pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands seperti yang dilaporkan akhbar tempatan.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu dengan segera, mengambil tindakan yang diputuskan Pasukan Petugas Khas Op Gading yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

 

“Kejadian penerokaan kebun haram yang berulang tidak sepatutnya timbul dan SPRM memandang serius sekiranya perkara itu ada kaitan dengan isu rasuah atau salah guna kuasa. Tindakan undang-undang akan diambil di bawah bidang kuasa suruhanjaya ini bagi menangani isu rasuah terbabit.

 

“Berdasarkan statistik, sejak 2015 sehingga kini, SPRM membuat tangkapan terhadap 23 individu dan mendapat izin mendakwa terhadap 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes pencerobohan tanah dan penerokaan kebun haram di Cameron Highlands diminta melaporkan terus kepada pejabat SPRM terdekat.

 

“SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa hingga menyebabkan isu ini berulang,” katanya.

 

Sebuah akhbar tempatan melaporkan penerokaan tanah di Cameron Highlands kini semakin parah dan berada di tahap membimbangkan walaupun pelbagai operasi termasuk Ops Gading dilaksanakan sebelum ini.

 

Pencerobohan tanah ini berlaku disebabkan gejala rasuah yang semakin membimbangkan dalam kalangan anggota agensi berkaitan di kawasan pelancongan itu.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 13 November 2018 - 12:41pm