SUHU CAMERON HIGHLANDS KEMBALI SEJUK – KDPB SULTAN PAHANG
CAMERON HIGHLANDS, 5 Januari 2026 – Suhu di Cameron Highlands dilaporkan kembali sejuk dan nyaman, sekali gus memberi isyarat positif terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar yang giat dilaksanakan sejak kebelakangan ini hasil titah dan perhatian serius Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Tahun lalu, beberapa laporan media arus perdana menzahirkan kebimbangan apabila suhu di Cameron Highlands didapati tidak lagi sejuk seperti suatu ketika dahulu, malah semakin hangat. Keadaan itu sekali gus membuktikan bahawa perubahan iklim turut memberi kesan ketara terhadap kawasan peranginan tanah tinggi berkenaan.
Perkara tersebut diperkukuhkan lagi dengan data meteorologi yang menunjukkan peningkatan suhu secara berterusan dari tahun 1969 hingga 2024, dengan trend kenaikan lebih ketara dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Purata suhu harian kawasan itu direkodkan mencecah 18.91 darjah Celsius, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelestarian alam sekitar dan ekosistem semula jadi Cameron Highlands.
Namun demikian, menjelang penghujung tahun 2025, suhu di Cameron Highlands dilihat semakin menurun susulan pelaksanaan beberapa langkah drastik oleh pihak berwajib berikutan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang menzahirkan hasrat agar kelestarian kawasan tanah tinggi itu dipelihara dan dikekalkan seperti sedia kala.
Keberangkatan Paduka Baginda ke Cameron Highlands menerusi lawatan kerja turut membuktikan perubahan positif apabila suhu pada pagi ini, 5 Januari 2026, direkodkan sekitar 15 darjah Celsius, sekali gus mengembalikan suasana sejuk yang menjadi identiti utama destinasi pelancongan tersebut.
Dalam titah Baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyeru agar semua pihak berkepentingan terus berganding bahu menjaga alam sekitar yang merupakan anugerah Allah SWT, selain menegaskan keperluan membanteras sebarang aktiviti pencerobohan tanah yang boleh menjejaskan keseimbangan alam dan kelestarian jangka panjang Cameron Highlands.
Baginda turut menekankan bahawa pemeliharaan alam sekitar bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa, malah memerlukan komitmen bersama seluruh masyarakat demi memastikan Cameron Highlands kekal sebagai kawasan peranginan tanah tinggi yang lestari untuk generasi akan datang.

















